Home > Uncategorized > Ulasan dari program Soal Jawab TV3: Mahasiswa Dibenar Berpolitik?

Ulasan dari program Soal Jawab TV3: Mahasiswa Dibenar Berpolitik?

  1. Saya mengikuti dengan teliti tentang isu mahasiswa dibenarkan berpolitik, yang menjadi perdebatan antara dua tetamu undangan dalam program Soal Jawab TV3 semalam, iaitu hari Rabu 4 Ogos 2010. Dua tetamu tersebut adalah Tan Sri Ibrahim Abu Shah, mantan Naib Canselor UITM dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.
  2. Kedua-duanya jelas mempunyai pandangan yang jelas berbeza, baik isinya, hujah serta pandangan dari perspektif masing-masing. Mantan NC UITM secara jelas tidak bersetuju dengan kebenaran mahasiswa untuk berpolitik, dengan alasan ianya tidak sesuai dengan iklim politik masa kini. Datuk Saifuddin pula dengan sinis membidas satu persatu-satu hujah Tan Sri Ibrahim, kerana baginya, mahasiswa perlu diberi peluang untuk berpolitik dan alasan tidak membenarkannya adalah satu kesilapan.
  3. Bagi saya, sebagai bekas mahasiswa universiti dan juga mantan YDP sebuah kolej kediaman di UKM,saya tidak bersetuju dengan Datuk Saifuddin yang saya lihat lebih kepada bersifat terlalu mengambil ringan akan implikasi jika perkara ini dibenarkan. Beliau perlu berpijak di bumi yang nyata, tidak terlalu memikirkan teori beliau yang lebih bersifat perkara baik jika ingin dilakukan, akan menghasilkan yang baik.Di dalam hal ini, saya lebih sependapat dengan Tan Sri Ibrahim, dimana hujah beliau lebih relevan dan kena dengan situasi politik sekarang.
  4. Perlu diingat bahawa senario di Malaysia adalah berbeza dengan negara-negara lain. Kita boleh ambil contoh mudah dengan negara-negara barat yang melaungkan keterbukaan dalam demokrasi, bersuara dengan sebebasnya tanpa halangan dan sekatan. Malaysia pula telah diketahui sebagai sebuah negara yang mempunyai kompleksiti yang ekstrim dalam masyarakat plural (majmuk).
  5. Selain majoriti Melayu, kita juga ada Cina dan India, selain bumiputera lain di Sabah dan Sarawak, yang semua ini mempunyai agama yang berbeza, cara hidup dan bahasa yang berbeza. Inilah Malaysia, terdapat banyak kaum dan agama, yang tentunya percakaran tentang sesuatu isu jika tidak dibendung atau ditangani dari awal akan mencetuskan ketegangan dan pergaduhan sesama sendiri.
  6. Sejak Pilihanraya Umum ke 12 berakhir, demam politik tanah air tidak pernah kebah atau reda. Ada saja isu yang dibangkitan, malah tidak selesai, timbul pula yang baru. Parti-parti politik mudah mengeksploitasi sesuatu isu mengikut keadaan, hinggakan semuanya dikaitkan dengan politik. Isu-isu sensitif dibangkitkan dan mahu diperdebatkan, Perlembagaan Persekutuan pula ingin dipinda, kewujudan NGO atau pertubuhan-pertubuhan tertentu yang memperjuangkan kepentingan kaum dan mempunyai agenda tersirat; semua ini adalah dari politik!
  7. Kumpulan-kumpulan pendesak ini mempunyai sokongan akar umbi yang sangat luas, baik dari golongan veteran, belia serta mahasiswa universiti serta pelajar sekolah. Kumpulan ini rupanya lupa bahawa demokrasi yang diamalkan di Malaysia adalah demokrasi berparlimen dimana tertakhluk kepada parameter-parameter tertentu, dan bukanlah kebebasan secara total. Percaya atau tidak, kumpulan pendesak ini adakalanya lebih radikal dan berkuasa dari kerajaan, apabila sesuatu perkara didesak secara berterusan, akhirnya pihak kerajaan akan tunduk jua menuruti kemahuan mereka.
  8. Maka saya tidak melihat apa pentingnya diberi kebenaran untuk mahasiswa berpolitik. Cukuplah! Letih rasanya bila terlalu penat berpolitik, kita hilang yang lain iaitu perkara yang lebih penting; ekonomi dan pendidikan. Tiga tahun yang diperuntukkan untuk memiliki segulung ijazah adalah tempoh yang sangat pendek, dimana mahasiswa perlu bijak memilih jam kredit yang diperuntukkan supaya dapat dilengkapakan dalam jangka masa waktunya. Belajarlah, timba ilmu dan pengalaman di kampus tanpa perlu campurtangan ahli politik serta parti luar yang boleh dianggap virus dalam meracuni minda mahasiswa.
  9. Apa yang lebih perlu bagi saya ialah memastikan pilihanraya kampus diadakan dengan lebih telus, tanpa campurtangan kakitangan serta penglibatan pihak Universiti yang menyusun calon-calon mereka. Adakan secara bebas, tanpa pengaruh parti politik luar dan diadakan dalam suasana politik kampus, dimana manifesto yang dijanjikan lebih bersifat mewujudkan keilmuan dan keintelektualan para mahasiswa.
  10. Ini adalah perkara asas yang perlu dipegang. Bagi saya, politik semasa yang sedang berlaku kini adalah sangat tidak sihat dan tidak matang, walaupun ahli parlimen yang bersidang telah menjangkau umur veteran. Kenapa ianya tidak matang?Kerana isunya hanya satu, ahli-ahli parlimen ini bersifat kepartian, dan menjaga periuk nasi mereka sahaja, walaupun menyedari parti mereka di pihak yang salah dalam sesuatu isu dan tidak mengakuinya! Sungguh hipokrit….
  11. Datuk Saifuddin Abdullah perlu turun padang, dengar pandangan dan lihat sendiri mahasiswa-mahasiwi kita di IPT. Saya dapat memberi jaminan jika mahasiswa dibenar menjadi ahli politik, kesucian universiti akan terhakis sebagai gedung ilmu yang sepatutnya melahirkan graduan yang berbakat, berlimu dan berpengetahuan, tetapi  menjadi tempat untuk menyemai perasaan kepartian, berpuak-puak, tidak harmoni malah masalah ‘bias’ dalam segala hal akan berleluasa, tidak kira samada pelajar ataupun pensyarah.
  12. Melainkan pada suatu hari nanti, politik kita kembali tenang dimana semua kaum di Malaysia tidak lagi memiliki sentiment primordial  yang tinggi, dan proses asimilasi rakyat Malaysia telah berlaku, tatkala itu biarkanlah mahasiswa berpolitik.
Advertisements
Categories: Uncategorized
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: